NUFFNANG

FOLLOW CIKMALA

TINGGALKAN JEJAK AWAK

JANGAN LUPA TINGGALKAN JEJAK AWAK

LIKE???

Khamis, 26 Julai 2012

SOLAT ZOHOR WANITA PADA HARI JUMAAT

Haiiii...
bb nie lagi satu Cikmala konpius
ada yg kata macam nie
ada yg kata mcm tue........
tapi bila Cikmala baca JAWAPAN MUFTI BRUNEI
semua konpius Cikmala terjawap...

Hari Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa, hari kebesaran 
bagi umat Islam dan hari yang paling agung daripada hari-hari 
yang lain. Sebagai bukti keagungan hari Jumaat, dalam sebuah 
hadits telah disebutkan bahawa hari Jumaat adalah lebih baik 
daripada Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fitri. Pada hari tersebut 
juga disyari‘atkan ibadat yang agung, iaitu sembahyang Jumaat 
yang mempunyai banyak fadhilat, antaranya sebagai penghapus 
dosa dalam setiap minggu sebagaimana maksud hadits bahawa 
sembahyang Jumaat hingga ke Jumaat seterusnya adalah penebus 
dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa 
besar.

Melihat kepada keistimewaan hari Jumaat itu, pastinya tiada 
sesiapapun yang diwajibkan ke atasnya sembahyang Jumaat akan 
melepaskan dengan senghaja daripada merebut dan meraih segala 
fadhilat yang dijanjikan pada hari tersebut. Namun dalam 
sesetengah keadaan, disebabkan ada keuzuran ataupun kerana tidak 
memenuhi syarat wajib Jumaat, seseorang itu diharuskan oleh 
syara‘ untuk meninggalkan sembahyang Jumaat dan diwajibkan ke 
atasnya untuk bersembahyang Zuhur. Persoalan yang timbul bagi 
orang yang termasuk dalam kelompok tersebut ialah bilakah 
masanya untuk mengerjakan sembahyang Zuhur? Adakah dia 
dituntut mendirikan sembahyang sejurus sahaja masuk waktu 
Zuhur atau mestikah dia menunggu sehingga sekira-kira imam 
selesai sembahyang Jumaat? Dalam perbincangan pada kali ini akan dijelaskan mengenai 
ketetapan hukum pelaksanaan sembahyang Zuhur bagi orang yang 
mempunyai keuzuran Jumaat dan orang yang tiada keuzuran 
Jumaat. 
Kewajipan Sembahyang Jumaat 
Hukum mendirikan sembahyang Jumaat secara berjemaah itu 
adalah wajib ke atas setiap muslim kecuali beberapa golongan 
tertentu sahaja. Perkara ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam: 

Maksudnya: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas 
setiap muslim (dikerjakan) dalam jamaah, kecuali empat 
(golongan): hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau 
orang yang sakit.” 
(Hadits diriwayatkan oleh al-Hakim) 

Para ulama menjelaskan bahawa pengecualian sembahyang Jumaat 
antaranya adalah ke atas golongan perempuan, orang yang tidak 
mukallaf seperti kanak-kanak, orang gila, orang pengsan, hilang 
akal bukan kerana disebabkan oleh perkara yang diharamkan 
syara‘ dan orang yang mempunyai keuzuran dari segi syara‘ 
antaranya orang sakit dan musafir bukan kerana maksiat. 
Kesimpulan daripada penjelasan serta hadits di atas, dapat 
difahami bahawa mereka yang dikecualikan daripada menghadiri 
sembahyang Jumaat terbahagi kepada dua: 
• Golongan yang pertama pada asalnya diwajibkan menghadiri 
sembahyang Jumaat, tetapi oleh sebab ada keuzuran syara‘, 
maka tidaklah diwajibkan ke atas mereka mendirikan 
sembahyang Jumaat, seperti orang yang sakit dan musafir.
 • Golongan yang kedua pula, sememangnya tidak diwajibkan 
menghadiri sembahyang Jumaat seperti golongan perempuan 
dan kanak-kanak. Menurut sepakat ulama, sembahyang 
Jumaat tidak diwajibkan atas golongan perempuan, akan 
tetapi jika dia meninggalkan sembahyang Zuhur dan 
mengerjakan sembahyang Jumaat, maka yang demikian itu 
adalah memadai dan tidak perlu lagi mengerjakan 
sembahyang Zuhur. 
Bagaimanapun orang yang musafir juga masih digalakkan untuk 
menunaikan sembahyang Jumaat supaya keluar daripada khilaf 
(perselisihan ulama). Begitu juga disunatkan ke atas orang yang 
sakit jika dia berdaya dan kanak-kanak sebagai latihan dan untuk 
membiasakannya. Kanak-kanak lelaki apabila mencapai umur 
tujuh tahun wajib disuruh atau diarahkan untuk bersembahyang 
Jumaat dan memukulnya jika dia enggan apabila mencapai umur 
sepuluh tahun, sebagaimana kewajipan menyuruhnya menunaikan 
sembahyang fardhu. 

Kedudukan Sembahyang Zuhur Bagi Yang Tidak Hadir 
Jumaat 

Pada hakikatnya, mereka yang tidak hadir ke masjid untuk 
menunaikan sembahyang Jumaat itu sebahagiannya adalah mereka 
yang tiada mempunyai keuzuran untuk tidak mengerjakan Jumaat, 
manakala sebahagian lagi mempunyai keuzuran syara‘. 
Terdapat sedikit perbezaan dari segi waktu menunaikan 
sembahyang Zuhur bagi dua golongan tersebut sepertimana dalam 
penjelasan berikut: 
1. Tiada keuzuran meninggalkan Jumaat 
Bagi orang yang wajib ke atasnya sembahyang Jumaat namun 
tidak menghadirkan dirinya ke masjid berjemaah tanpa keuzuran, 
maka wajib ke atasnya mendirikan sembahyang Zuhur setelah 
selesai Jumaat didirikan dengan segera. 
Tidak harus baginya menunaikan sembahyang Zuhur 
sebelum selesai sembahyang 
Jumaat didirikan. Ini kerana pada asalnya dia diwajibkan dan 
dituntut untuk sembahyang Jumaat. 
Sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang Zuhur sebelum 
selesai Jumaat, iaitu sebelum selesai imam memberi salam dalam 
sembahyang Jumaat kerana kejahilannya, maka sembahyang Zuhur 
yang dikerjakannya itu tidak memadai atau tidak sah, sebaliknya 
hanya dianggap sebagai sembahyang sunat sahaja. Oleh yang 
demikian, wajib ke atasnya mengulang semula sembahyang Zuhur 
dengan segera. 
Namun perlu diingat, jangan dipermudah-mudahkan dan 
dipandang ringan perkara meninggalkan Jumaat dengan senghaja. 
Ini kerana mereka yang tidak berjemaah sembahyang Jumaat 
dengan tiada apa-apa keuzuran untuk meninggalkan Jumaat, 
sekalipun dia sembahyang Zuhur secara bersendirian, maka dia 
dihukumkan berdosa besar. Apatah lagi jika dia meninggalkannya 
tiga kali berturut-turut, maka hatinya akan dicapkan oleh Allah 
Subhanahu wa Ta‘ala sebagai hati orang munafiq sebagaimana 
yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi 
wasallam. 

2. Mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat 
Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib 
menunaikan sembahyang Jumaat, dia diharuskan memilih sama 
ada untuk menunaikan sembahyang Zuhur ataupun sembahyang 
Jumaat. 

Ulama menjelaskan bahawa orang yang mempunyai keuzuran 
meninggalkan Jumaat terbahagi kepada dua, iaitu orang yang 
mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang dan orang 
yang keuzurannya tetap atau tidak hilang. Penjelasannya seperti 
berikut: 

(a) Orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya 
akan hilang sebelum habis sembahyang Jumaat, iaitu sebelum 
imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, disunatkan 
dan afdhal baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan 
sembahyang Zuhur sehingga selesai sembahyang Jumaat, 
yakni sehinggalah dia berputus harapan untuk mengerjakan 
Jumaat. Tujuan melambatkan Zuhur itu ialah dengan harapan 
uzurnya akan hilang dan dia dapat hadir sembahyang Jumaat. 
Berikut dibawakan persoalan jika salah satu sembahyang 
Zuhur atau Jumaat atau kedua-duanya sekali sudah 
dikerjakan: 
i. Jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur pada awal 
waktu, kemudian hilang keuzurannya itu sedangkan 
masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang 
Jumaat, maka tidaklah wajib baginya sembahyang 
Jumaat, hanya disunatkan sahaja. 
ii. Jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur kemudian 
dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka 
sembahyang fardhu yang dituntut ke atasnya sudah 
tertunai dengan sembahyang Zuhurnya, manakala 
sembahyang Jumaat adalah sebagai sembahyang sunat 
baginya. 
Secara amnya, orang yang mempunyai keuzuran masih tetap 
digalakkan untuk hadir Jumaat sekalipun dia sudah 
menunaikan sembahyang Zuhur. 

(b) Bagi orang yang tidak hadir menunaikan sembahyang Jumaat 
dan keuzurannya tetap atau tidak akan hilang, umpamanya 
golongan perempuan dan orang sakit yang tidak berupaya, 
orang yang kena bala atau wabak, wajib ke atasnya 
mengerjakan sembahyang Zuhur dan disunatkan 
menyegerakan Zuhur sebaik sahaja masuk waktunya agar 
tidak kerugian daripada memperolehi ganjaran fadhilat 
sembahyang pada awal waktu. 
Malahan disunatkan juga untuk dikerjakan secara berjemaaah pada waktu yang 
ditetapkan. 
Bagi orang yang ada keuzuran untuk meninggalkan sembahyang 
Jumaat, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian 2 (a) dan 
(b), jika dia bersembahyang Jumaat, maka sembahyang Jumaatnya 
itu sudah memadai dan dia tidak perlu lagi untuk bersembahyang 
Zuhur. 
Sebagai kesimpulan mereka yang mempunyai keuzuran 
meninggalkan Jumaat seperti golongan perempuan, kanak-kanak, 
orang sakit, musafir, pengsan atau hilang akal yang bukan 
disebabkan oleh perkara yang diharamkan oleh syara‘, disunatkan 
baginya untuk menunaikan sembahyang Zuhur pada awal 
waktunya untuk merebut ganjaran dan fadhilat sembahyang pada 
awal waktu. Manakala bagi yang mempunyai keuzuran dan dia 
mengharap atau menantikan keuzurannya itu boleh atau akan 
hilang sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, 
maka disunatkan baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan 
sembahyang Zuhur sehingga imam selesai menunaikan 
sembahyang Jumaat. 
Manakala bagi mereka yang meninggalkan sembahyang Jumaat 
tanpa sebarang keuzuran dianggap berdosa besar dan diwajibkan 
ke atasnya sembahyang Zuhur. Hendaklah dia mengakhirkan 
sembahyang Zuhur sehingga imam memberi salam dalam 
sembahyang Jumaat. Adapun jika dia mengerjakan sembahyang 
Zuhur sebelum imam memberi salam, maka sembahyang Zuhur 
yang dikerjakannya itu adalah tidak memadai. Bahkan hendaklah 
dia mengulang kembali sembahyang Zuhur yang dikerjakannya
.

3 ulasan:

Remy hazza berkata...

camtu rupanyar.....
penjelasan panjang lebar.....

: : memeng : : berkata...

uhuuhu.. good info.. tqqq :)

faten liani berkata...

Terima kasih, sangat membantu kekeliruan saya. Syukran Jazilan.

ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...